Wednesday, July 27, 2016


1.0 PENGENALAN

Malaysia dikenali sebagai sebuah negara yang beriklim khatulistiwa yang mempunyai alam semulajadi yang unik dengan pulau yang menawan menjadi daya tarikan kebanyakan pelancong asing. Kebanyakan negara memilih Malaysia sebagai destinasi percutian dan pelancongan. Singapura merupakan negara pelancongan utama bagi Malaysia. Industri pelancongan merupakan penyumbang penting dalam pembangunan ekonomi negara. Pada tahun 1970 kerajaan Malaysia telah membangunkan industri pelancongan bagi memenuhi beberapa objektif antaranya adalah 1) peningkatan pendapatan negara dalam pertukaran mata wang asing, 2) meningkatkan peluang pekerjaan bagi rakyat tempatan, 3) menggalakkan pembangunan kawasan, 4) mempelbagaikan aktiviti ekonomi setempat, dan 5) meningkatkan hasil kerajaan. Malaysia juga mencatatkan rekod purata kemasukan pelancong asing sebanyak dua juta bagi setiap tahun. Malaysia juga diiktirafkan di peringkat global sebagai destinasi pelancongan utama dengan kedudukan diantara 10 teratas dari segi ketibaan pelancong dan 15 antara teratas dari segi penerimaan global.
 

2.0 MAKSUD INDUSTRI PERLANCONGAN

Pelancongan mempunyai pelbagai maksud berdasarkan perspektif dan pandangan seseorang yang terlibat dalam industri pelancongan. Mengikut Persatuan Pelancongan Sedunia (World Tourism Malaysia) pelancongan merupakan aktiviti pengembaraan seseorang individu ke suatu tempat yang keluar daripada persekitaran asal yang menetap tidak lebih daripada satu tahun untuk tujuan rehat, perniagaan dan sebagainya. Tujuan pelancongan adalah untuk mengisi masa lapang atau rekreasi. Mengikut Kamus Dewan Bahasa Edisi Keempat, pelancongan merupakan perihal melancong dan perkhidmatan yang berkaitannya. Pelancongan juga merupakan aktiviti ekonomi yang mampu membawa pendapatan dan manfaat kepada komuniti. Pelancongan juga merupakan suatu bidang pelaburan yang juga berperanan dalam pembangunan negara. Dalam sistem pelancongan, aspek pasaran dan pembekalan memainkan peranan penting dalam menentukan perkembangan dan kemajuan industri pelancongan. Terdapat empat element utama yang diberi penekanan kepada pengertian pelancongan antaranya adalah pelancong, perniagaan, kerajaan dan tuan rumah. Pelancongan adalah individu yang keluar ke sesuatu destinasi bagi beberapa tujuan, manakala perniagaan pula adalah individu yang terlibat dalam pembekalan barangan atau perkhidmatan dalam industri pelancongan dan pada masa yang sama memenuhi permintaan pelancong. Kerajaan pula adalah pihak yang terlibat secara langsung dalam memenuhi ekonomi berbentuk pendapatan daripada tuan rumah atau hasil daripada kedatangan pelancongan. Akhir sekali adalah tuan rumah, dimana individu terlibat secra langsung dengan destinasi terpilih dan menjaga budaya masyarakat destinasi tersebut.
Dasar Pelancongan diwujudkan untuk menjadikan industri pelancongan salah satu sektor yang mampu memberi sumbangan kepada sosioekonomi negara. Peningkatan pendapatan negara melalui sektor pelancongan mampu meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat.




3.0 TAHAP PEMBANGUNAN INDUSTRI PELANCONGAN

Malaysia merupakan destinasi tarikan pelancongan yang sangat berpotensi di peringkat Asia, antarabangsa dan tempatan. Malaysia menerima kedatangan 6.48 juta pelancong pada suku tahun pertama 2016 dimana 3.24 juta pelancong adalah daripada Singapura dan diikuti Indonesia 0.67 juta dan China 0.38 juta manakala selebihnya adalah dari negara-negara lain (Berita Malaysiakini, 2015).

Perkhidmatan pelancongan merupakan suatu bidang pelaburan yang memacu pertumbuhan industri-industri lain yang berperanan dalam pembangunan negara Malaysia. Industri pelancongan merupakan penjana ekonomi negara yang seharusnya diberi penekanan yang sewajarnya. Kejayaan industri pelancongan tidak semata-mata bergantung pada kempen atau promosi dan pengiklanan, tetapi ia juga berkait rapat dengan sistem pengangkutan, kemudahan lapangan terbang, kebersihan persekitaran, keselamatan pelancong, alam sekitar dan sebagainya.
 Pada tahun 1987, Kementerian Kebudayaan, Keseniaan dan Pelancongan telah ditubuhkan untuk menyediakan insentif, meningkatkan mutu kemudahan asas, membuat promosi dan menyediakan peruntukan untuk memajukan industri perlancongan ini. Kedua-dua kementerian ini kemudian digabungkan menjadi Kementerian Pelancongan Malaysia sehingga ke hari ini. Kementerian Pelancongan Malaysia telah merancakkan lagi pembangunan industri pelancongan negara.
Industri pelancongan merupakan sektor penting dalam ekonomi negara. Ia merupakan sektor kelima terbesar selepas sektor perkhidmatan kewangan, kelapa sawit, borong dan runcit, gas dan tenaga dan petroleum. Pada peringkat permulaan,  kerajaan tidak memberi penekanan terhadap sektor pelancongan, tumpuannya hanya pada pembangunan infrastruktur negara dan melawan ancaman komunis telah melambatkan lagi perkembangan sektor pelancongan di Malaysia.

Era 60-an, sektor pelancongan negara masih belum menunjukkan perkembangan ekonomi, tumpuan kerajaan hanya kepada sektor hasil bumi seperti bijih timah dan getah. Industri pelancongan mula menunjukkan perkembangan pada tahun 70an, dimana kedatangan pelancong ke Malaysia melalui udara dan air mula meningkat. Ketika itu, industri pelancongan masih belum menunjukan industri yang maju. Sektor pelancongan semakin berkembang pada 80an kerana pada masa tersebut negara sudah aman daripada ancaman komunis dan juga ancaman luar. Malaysia mula mendapat keuntungan besar dalam bentuk tukaran asing.
Selepas kejayaan Tahun Melawat Malaysia 1990, sumbangan sektor pelancongan terus meningkat Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) malah tidak jejas walaupun selepas kegawatan ekonomi pada 1997/1998. Pada tahun 2000 ketibaan pelancong telah mencecah 10 juta buat pertama kali dan meningkat kepada 22 juta pelancong pada tahun 2008. Peningkatan kedatangan pelancong yang ketara telah juga meningkatkan pendapatan negara. Rancangan Malaysia ke-8, kerajaan telah memperuntukan lebih daripada satu bilion untuk tujuan pengindahan, kebersihan,  perlindungan alam sekitar, infrastruktur, kemudahan asas, memulihkan tempat-tempat bersejarah, menaikkan taraf rumah-rumah rehat dan mewujudkan landskap pelancongan yang menarik.
Sejak tahun 1990 hingga 2001, sebanyak 33 peratus projek-projek aktiviti rekreasi dan peranginan di Pulau Langkawi telah mendapat kelulusan. Destinasi pelancongan bersaiz kecil dibangunkan dahulu di zon pinggir pantai. Kini sektor pelancongan mula bergiat maju dan beberapa aspek turut dibangunkan untuk bagi menampung keperluan industri. Antaranya adalah keupayaan tenaga kerja melalui latihan, membangunkan destinasi peranginan bukit, pulau, tempat membeli-belah dan upacara-upacara. Promosi juga giat dijalankan untuk menarik perhatian pelancong ke negara kita.

Galakan dan sokongan padu daripada pihak kerajaan dan swasta dalam pembangunan pelancongan dapat mempelbagaikan lagi kemudahan dalam industri, contohnya pembinaan hotel. Kini, sektor pelancongan menjadi salah satu penyumbang pendapatan negara. Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Rajak, sektor pelancongan negara merupakan penyumbang keenam terbesar ekonomi negara iaitu sejumlah RM161 bilion atau 14.9 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) pada tahun 2014 (Berita Harian, 17 Oktober 2015).


4.0 KEPENTINGAN DAN SUMBANGAN INDUSTRI PERLANCONGAN TERHADAP  PEMBANGUNAN EKONOMI NEGARA.

Sektor perlancongan telah meningkatkan ekonomi negara dari segi pengaliran mata wang asing ke dalam negara. Pelancong yang datang ke Malaysia perlu menukar mata wang asing kepada Ringgit Malaysia untuk berbelanja. Pertukaran mata wang asing boleh dilakukan di bank-bank tempatan dan pusat pertukaran mata wang asing. Mata wang asing ini digunakan untuk membiayai perbelanjaan pengimportan barang dari luar negara. Pengaliran masuk mata wang asing dalam negara menguntungkan entiti perniagaan malah ia dapat digunakan untuk membeli barangan keperluan asas untuk rakyat tempatan dari luar negara. Menurut Laporan Ekonomi 2010/2011 pendapatan negara melalui sektor pelancongan telah meningkat kepada RM59.20 bilion, ini menunjukan pengaliran mata wang asing yang banyak dalam negara.
Sektor pelancongan juga secara tidak langsung memajukan bidang perniagaan di Malaysia. Pelancong asing yang datang ke Malaysia memerlukan tempat penginapan yang selesa, makanan dan minuman yang mencukupi, perkhidmatan pengangkutan, juru pandu pelancong dan lain-lain perkhidmatan agar destinasi perjalanan mereka berjalan dengan lancar.
Pelancong juga amat menggemari makanan di Malaysia kerana mempunyai beraneka jenis yang boleh dinikmati sama ada di hotel, restoran, medan selera, kedai atau warung di tepi jalan. Malaysia dikenali sebagai negara majmuk dengan pelbagai kaum, begitu juga dari segi makanan juga terdapat pelbagai jenis masakan seperti masakan Melayu, masakan Cina dan masakan India. Rendang, ketupat, nasi lemak adalah masakan kaum Melayu, pau, char kuey teow adalah masakan Kaum Cina dan masakan kaum India pula adalah tosai, capati dan idili. Setiap masakan mempunyai keunikan dan citarasa yang berbeza-beza yang boleh dinikmati oleh pelancong yang tidak pernah dirasai di negara lain. Rasa baharu akan meningkatkan lagi permintaan terhadap makanan tempatan mewujudkan peluang perniagaan kepada usahawan tempatan.

Banyak pusat-pusat penginapan juga telah membina hotel-hotel bertaraf lima bintang, resort, apartment, chalet dan homestay dikawasan peranginan terutamanya dikawasan di tepi pulau dan pantai untuk menarik perhatian pelancong asing. Selain itu, pelancong asing juga memerlukan perkhidmatan pengangkutan yang berkesan untuk bergerak dari satu lokasi perlancongan ke lokasi yang lain. Pengusaha bidang pengangkutan contohnya bas, teksi, van, bot, feri dan lain-lain berpeluang untuk menjalankan perniagaan prasarana bagi pelancong asing pada masa yang sama membantu menjana ekonomi negara.
Sektor perlancongan juga berjaya mara kehadapan melalui tarikan penganjuran sukan bertaraf dunia. Kejohanan perlumbaan kereta Formula 1 dilitar Sepang dan Sukan Komanwel 1998 mempopularkan lagi Malaysia di kalangan peminat sukan dunia. Malaysia dapat dipromosikan ke seluruh dunia melalui media komunikasi dengan kos yang minima melalui siaran langsung menggalakkan lagi kedatangan pelancong asing ke negara kita. 

Sektor pelancongan juga dapat mengembangkan industri kraf tangan malah menjadi periuk nasi kepada pengusaha kraf tangan tempatan. Barangan kraft tangan yang bermutu dibuat oleh rakyat tempatan ditawarkan dengan harga yang berpatutan kepada pelancong-pelancong asing dan juga rakyat tempatan. Barangan kraf tangan yang dimaksudkan adalah kain batik, songket, wau, seramik, kayu, perak, kaca dan kulit yang direka bentuk jadikan sebagai cenderahati kepada pelancong. Kebanyakan pelancong suka untuk membeli-belah cenderahati yang ditawarkan untuk dibawa sebagai kenangan atau sebagai buah tangan kepada ahli keluarga dan rakan. 

Sektor pelancongan juga mempromosikan budaya amalan Malaysia yang unik kepada pelancong luar negara. Malaysia mempunyai penduduk yang berbilang kaum etnik antaranya Melayu, Cina, India, Kadazan, Murut, Bajau, Iban dan lain-lain. Setiap kaum mempunyai adat dan budaya yang berbeza-beza yang mampu menarik minat pelancong untuk turut menyertai persembahan kesenian tradisional dan permainan. Persembahan kesenian tradisional adalah wayang kulit, dikir barat, kuda kepang dan sebagainya manakal permainan pula adalah sepak raga, congkak, wau dan lain-lain. Kenangan manis yang diamati oleh pelancong mendorong mereka untuk datang semula.
Sektor pelancongan merupakan sumber ekonomi yang penting untuk negara. Kita haruslah menggunakan kelebihan yang ada dengan sepenuhnya untuk menjadikan pusat pelancongan yang terkenal di dunia.


5.0   HALANGAN/CABARAN INDUSTRI PELANCONGAN

Sektor pelancongan negara kita kian berkembang maju dan menjadi salah satu punca pendapatan negara yang paling penting. Bagi meningkatkan lagi pendapatan negara, kementerian pelancongan cuba membangunkan kebanyakan tempat-tempat sebagai pusat perlancongan untuk menarik perhatian pelancong asing. Kerajaan juga menggerakkan semua agensi-agensi yang terlibat secara langsung atau tidak dengan sektor pelancongan agar bekerjasama dalam pembangunan sektor pelancongan sejajar dengan pembangunan negara. Semua pihak perlu menempuhi pelbagai cabaran demi masa depan negara untuk menikmati faedah daripada perkembangan sektor pelancongan.
Persaingan dalam sektor pelancongan merupakan salah satu cabaran yang perlu diharungi oleh Malaysia dengan negara-negara lain. Kebanyakan negara cuba mempromosikan pelancongan demi kepentingan faedah negara dan cuba mencapai matlamat destinasi pelancongan negara yang utama. Negara kita perlulah membuat pelbagai persediaan yang rapi untuk menarik ramai pelancong. Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Rajak, tinjauan beliau ke Ekspo Milano di Itali, mendapati Malaysia menduduki di tangga ketiga dalam pemilihan destinasi paling digemari oleh pelancong. Bagi mencapai tangga pertama, semua pihak perlulah berganding bahu untuk mencapai matlamatnya.
Pencemaran alam sekitar juga merupakan salah satu cabaran dalam sektor perlancongan negara yang boleh mempengaruhi masa depan negara.  Pencemaran alam sekitar yang disebabkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab merosakkan lagi kecantikkan negara.  Malaysia merupakan negara yang mempunyai iklim khatulistiwa dengan kecantikan alam semulajadi merupakan tulang belakang kepada sektor pelancongan. Sekiranya pencemaran melanda negara secara terus-menerus ia akan menjejaskan kedatangan pelancong-pelancong ke negara kita. Keadaan ini melanda Malaysia ketika pembakaran hutan di Sumatera. Menurut Dr. Yeah Kim Leng di Utusan Online pada 14 September 2015, Malaysia terpaksa menghadapi jerebu yang teruk dan pencemaran udara telah menjejaskan sektor pelancongan yang menyumbang kira-kira enam peratus (6%) kepada ekonomi negara Malaysia.

Ketidakstabilan politik negara juga merupakan salah satu faktor yang juga mempengaruhi sektor perlancongan. Contohnya insiden pencerobohan militan yang berlaku di Lahad Datu, Sabah telah menjejaskan sektor pelancongan dan sektor perkhidmatan. Kebanyakan pelancong terpaksa membatalkan ekpidisi pelancongan walaupun kerajaan telah memulihkan dan mengembalikan keamanan di kawasan berkenan. Pelancong mula bertanggapan bahawa berlaku pencerobohan dalam negara dan keadaan politik yang tidak kukuh. Ini, jelas menunjukkan ketidakstabilan politik negara bukan sahaja menjejaskan imej negara malah membawa kesan buruk kepada sektor pelancongan.

Cabaran seterusnya adalah, globalisasi negara menyebabkan masyarakat mula melupai budaya asal tempatan dan terjebak dengan budaya barat. Ia dapat dilihat dengan ketara dikalangan remaja kerana mereka beranggapan budaya daripada nenek moyang tersebut ketinggalan zaman untuk dipraktikan dan takut diketawakan oleh rakan-rakan sebayanya. Tetapi, kerajaan berhasrat kebudayaan negara kita turut dapat dirasai oleh pelancong-pelancong yang datang untuk melancong kerana keunikannya tidak sama dengan budaya negara lain. Kebanyakan budaya tempatan mula hilang dari pandangan antaranya adalah wayang kulit, congkak, tarian dan persembahan tradistional.

Kejatuhan ringgit juga menggugat sektor pelancongan negara. Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelancongan (Tourism Malaysia) jumlah pelancong asing ke negara kita mula merosot sebanyak 8.6 peratus bagi suku tahun pertama 2016 iaitu daripada 7,091,433 kepada 6,482,696 orang berbanding tahun lepas. Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pelancongan di Parlimen yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengambil strategi “quick win” bagi menangani penurunan ketibaan pelancong ke negara.

Malaysia menempuhi pelbagai cabaran pada masa akan datang dalam sektor pelancongan. Kita sebagai ahli masyarakat perlulah berganding bahu dengan kerajaan untuk menjayakan sektor perlancongan ini yang juga merupakan tulang ekonomi negara.


 
6.0 SISTEM SOKONGAN OLEH PIHAK KERAJAAN DAN SWASTA YANG DITAWARKAN UNTUK PEMBANGUNAN INDUSTRI PELANCONGAN.

Kemajuan Pelancongan Malaysia merupakan sebuah badan berkanun yang ditubuhkan pada 1972. Badan berkanun ini menjalankan tugas-tugas yang berkaitan dengan pelancongan di peringkat serantau dan antarabangsa.
 
Dalam Rancangan Malaysia ke-6 (RMK-6: 1991-1995), kerajaan telah berkerjasama dengan pihak swasta dalam membangunkan industri-industri pelancongan ini. Pada tahun 1994, kerajaan telah melancarkan Tahun Melawat Malaysia termasuk menawarkan 170 program dan acara kebudayaan yang merangkumi keseniaan, kebudayaan, kraftangan, pameran dan sebagainya untuk menarik minat pelancong untuk turut menyertainya.

Perancangan yang rapi dan teliti oleh pihak kerajaan dan swata dalam meningkatkan ekonomi negara telah meningkatkan lagi perolehan negara melalui kedatangan pelancongan asing ke negara kita. Kerajaan dalam usaha memasarkan Malaysia sebagai destinasi pelancongan telah menganjurkan acara “Malaysian Kitchen” di Kota London dengan memperkenalkan pelbagai makanan tempatan kepada warga Britian. Acara ini mendapat sambutan hangat daripada warga Britian dan melancarkan lagi promosi pelancongan dalam makanan tempatan.

Kerajaan juga memajukan sektor ekopelancongan yang kaya dengan khazanah alam semulajadi contohnya Taman Negara dan Taman Negara Kinabalu yang telah diiktirafkan sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO. Malah, kerajaan juga menggalakkan agro pelancongan menerusi acara-acara Pesta Buah-Buahan Tempatan dan Pesta Flora. Kerajaan juga memajukan pelancongan menerusi bidang perubatan dan pendidikan. Dalam pendidikan pula, kerajaan menarik masuk pelajar-pelajar luar negara untuk menimba ilmu dengan menawarkan pelbagai kursus bertaraf antarabangsa. Selaras dengan usaha kerajaan, Kempen Zoom Malaysia dilancarkan bermaksud “Segala-galanya terdapat di Malaysia”.

Kerajaan juga melancarkan Hari Pelancongan Sedunia 2015 pada 27 September dengan tema “1 Bilion Pelancong, 1 Bilion Peluang” yang telah memberi satu semangat baru kepada hala tuju Malaysia ke arah mencapai 2020. Disamping itu, Malaysia juga menjadi tuan rumah bagi acara-acara sukan seperti perlumbaan Grand Prix F1, perlumbaan berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) dan acara terjunan bebas dan KL Tower Base Jump. Penganjuran sukan bertaraf antarabangsa memperkenalkan Malaysia kepada atlet-atlet luar negara dan pada masa sama menarik masuk kedatangan pelancong dari serantau dunia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib juga menggumumkan industri pelancongan telah memberi sumbangan yang ketara kepada ekonomi sejak pengenalan Progam Transformasi Negara (NTP). NTP telah membuka peluang baru bagi rakyat Malaysia dan berjaya menampilkan keunikan dan keharmonian negara melalui aktiviti promosi di pasaran negara-negara ASEAN, China dan India. Program ini juga memberi nafas baru kepada Muzium Negara, Tugu Negara, Taman Tasik Perdana, Makam Mahsuri Di Langkawi, Tokong Kek Lo Si di Pulau Pinang, Tapak warisan Kesultanan Melayu Melaka, Taman Negara Gunung Mulu di Sarawak dan Taman Kinabalu di Sabah dan dengan menjadikan kawasannya lebih menarik dan senang untuk dikunjungi oleh pelancong.
Tourism Malaysia juga merupakan satu sokongan kerajaan Malaysia dalam meningkatkan industri pelancongan. Ia merupakan platform pemasaran digital yang disediakan mengikut keperluan pelancong untuk pengembaraan. Tujuan Tourism Malaysia adalah untuk meningkatkan kemesraan penggunaannya dimana ia digunakan untuk berkongsi pengalaman, pandangan, pendapat dan juga mempunyai kandungan menarik tentang Malaysia.
Kerajaan dalam usaha pembangunan dan perlaksanaan industri pelancongan perlulah memastikan keperluan dan kemudahan pelancong-pelancong dalam negeri mahupun luar negara dipenuhi. Pada masa yang sama projek-projek bagi tujuan meningkatkan industri pelancongan dibangunkan dengan penggunaan sumber secara optimum dan mengikut specifikasi yang diluluskan berdasarkan Dasar Pelancongan.

7.0 LANGKAH-LANGKAH UNTUK MENDORONG DAN MEMBANGUNKAN INDUSTRI  PELANCONGAN 

Pihak  kerajaan dan pihak swasta perlulah melakukan pelbagai usaha untuk memperkenalkan Malaysia di mata dunia. Kerajaan perlulah merancakkan lagi aktiviti promosi untuk menarik masuk lebih ramai pelancong asing ke negara kita. Kementerian Pelancongan perlulah mempromosikan destinasi pelancongan yang menarik, kebudayaan dan karnival jualan barang-barang keluaran tempatan secara besar-besaran. Kempen Cuti-Cuti Malaysia dan Tahun Melawat Malaysia perlu dijalankan setiap tahun untuk mempromosikan Malaysia kepada luar negara.  Usaha-usaha untuk memperkenalkan negara Malaysia sebagai destinasi pelancongan di seluruh dunia hanya boleh dilakukan melalui penggunaan teknologi maklumat iaitu internet dan melalui rakyat Malaysia sendiri yang berada diluar negara atas tujuan kerjaya, lanjutan pelajaran dan lain-lain sebab. Melalui penggunaan internet, semua pelancong dapat memperoleh maklumat tepat mengenai destinasi pelancongan di Malaysia dan mampu menjadi daya tarikan pelancong untuk berkunjung ke Malaysia. Bagi rakyat yang berada di luar negara boleh mempromosikan tempat-tempat yang menarik di Malaysia seperti Pulau Langkawi, Cameron Highland, Genting Resort, Pulau Pangkor dan banyak lagi untuk dilawati.
Pihak kerajaan dan pihak swasta juga perlulah berganding bahu membuka pusat-pusat percutian yang bertaraf dunia agar industri pelancongan negara kita dapat bersaing dengan negara-negara lain di dunia. Di samping itu, menyediakan prasarana yang mencukupi, selesa, jimat dan mudah untuk didapati demi menjaga keselesaan kepada pelancong. Inisiatif ini boleh dilaksanakan dengan pembinaan hotel bertaraf empat atau lima bintang dengan bilik yang selesa dan menyediakan bas dan teksi dengan kadar yang berpatutan serta cekap dan efisien.  Menurut Datuk Tee Siew Kiong, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Negeri, kajian Tourism Malaysia mencatatkan negeri Johor menduduki tempat ketiga menerima kedatangan pelancong tertinggi pada tahun 2015 iaitu seramai 6.9 juta berbanding 6.4 juta orang pada tahun 2014. Keadaan ini mencatatkan kadar peningkatan purata penginapan di hotel sebanyak 58.5 peratus pada tahun 2015 berbanding 56.6 peratus pada tahun 2014. Perancangan yang sistematik mampu membawa lebih ramai pelancong ke negara kita.
Peranan ibubapa dan sekolah juga penting dalam menggalakkan pembangunan sektor pelacongan di Malaysia. Ibubapa perlulah mendidik anak-anak agar tidak terlibat dengan gejala sosial contohnya vandalisme yang boleh menjatuhkan imej negara ketika pelancong datang ke negara kita. Ibubapa perlulah meluangkan masa membawa anak-anak mereka melancong ke tempat-tempat bersejarah agar mereka tidak ketinggalan. Hal ini dapat merapatkan lagi hubungan keluarga dan dapat menghabiskan percutian dengan sempurna bersama keluarga. Begitu juga pihak sekolah, perlulah memperkenalkan Malaysia kepada anak-anak murid melalui matapelajaran Geografi dan Sejarah. Pihak sekolah juga bolehlah menganjurkan aktiviti seperti lawatan sambil belajar ke tempat pelancongan bersejarah agar pelajar-pelajar dapat menyelami ilmu pengetahuan secara mendalam.
          Masyarakat setempat juga berganding bahu dengan usaha kerajaan dalam membawa Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama di dunia. Sikap ramah-tamah dan berbudi bahasa sewaktu kehadiran pelancong asing dapat memberi keselesaan untuk mereka untuk berkunjung semula. Rakyat tempatan sendiri yang merancang untuk bercuti dan melancong, Malaysia adalah pilihan destinasi pelancongan yang pertama, tujuannya untuk menjimatkan pengaliran keluar mata wang negara. Melancong dalam negara dapat menambahkan pengetahuan dan pengalaman malah mengetahui keunikan budaya dan tradisi masyarakat di negeri-negeri lain di Malaysia.
Kerajaan juga perlulah berusaha membangunkan banyak lagi destinasi pelancongan yang baru. Tempat-tempat yang dipilih mestilah lebih menarik dan memenuhi citarasa pelancong masa kini. Semakin banyak tempat dipelopor untuk destinasi pelancongan, potensi untuk menerima lebih banyak pelancong ke Malaysia. 
Pakej pelancongan yang ditawarkan oleh pihak kerajaan dan pihak swasta perlulah dalam harga yang berpatutan. Harga yang berpatutan dapat mendorong minat para pelancong untuk meneroka negara kita. Kebanyakan pelancong inginkan pakej pelancongan yang disertakan dengan juru-pandu, pengangkutan, penginapan dan makanan kerana mereka tidak mahu perjalanan mereka diganggu oleh sebab-sebab tersebut. Oleh itu, pihak kerajaan dan swasta perlulah merangka satu set kos bagi setiap pakej pelancongan mengikut situasi ekonomi agar pelancong tidak tertekan untuk bayar atau tidak tertipu oleh orang-orang yang tidak bertanggungjawab.
Aspek kebersihan juga perlulah diberi perhatian oleh pihak kerajaan dan swasta. Kebanyakan pelancong mengkritik kualiti kebersihan di negara kita contohnya di tandas awam, perhentian bas dan teksi, bilik penginapan hotel dan warung-warung makanan di tepi jalan yang amat memalukan. Usaha-usaha membawa imej positif terhadap negara perlulah diberi penekanan agar pelancong selesa dengan keadaan di Malaysia.
Kerajaan juga boleh mengurangkan cukai barangan untuk pelancong membeli-belah. Peraturan imigresen juga perlu dilonggarkan untuk menarik masuk lebih ramai pelancong ke negara kita. Hal ini akan mengalirkan lebih banyak mata wang asing ke negara kita. Pulau Langkawi dikenali sebagai zon bebas cukai dan merupakan destinasi tumpuan pelancong daripada kebanyakan negara. Cenderahati, pinggan mangkuk, kraft tangan dan coklat yang dijual boleh didapati dengan mudah, pelancong boleh beli dengan banyak sekiranya terdapat pengurangan cukai. Pendapatan penduduk setempat akan meningkat dan taraf hidup mereka juga turut meningkat.
Pihak kerajaan dan swata perlulah mempelbagaikan usaha dan kempen untuk mempergiatkan lagi aktiviti pelancongan. Industri ini juga merupakan penyumbang utama pendapatan negara untuk jangka masa yang panjang. Kejayaan sektor pelancongan dapat direalisasikan sekirannya semua pihak berganding bahu memajukan industri pelancongan.
 
8.0   KESIMPULAN
 
Pelancongan merupakan penjana ekonomi negara yang sangat penting untuk jangka masa pendek dan panjang. Industri pelancongan terbukti membawa pelbagai faedah kepada pembangunan negara. Semua pihak perlulah bersatu-padu memastikan impian negara untuk menjadi destinasi pelancongan yang utama tercapai. Usaha daripada satu pihak tidak memadai untuk menjadikan negara maju dalam industri pelancongan. Sokongan daripada seluruh rakyat Malaysia dalam pembangunan dan perlaksanaan industri pelancongan amat diperlukan.

 
9.0 RUJUKAN

6.5 juta pelancong suku pertama 2015. (2015, Oktober 5). Didapatkan dari https://www.malaysiakini.com/news/314558.

ETP: Usaha Mentransfromasi Pelancongan Ke Tahap Baru. (t.t). Didapatkan dari http://www.motac.gov.my/arkib/2012/348-etp-usaha-mentransfromasi-pelancongan-ke-tahap-baru.
Industri Pelancongan di Malaysia. (t.t). Didapatkan dari https://mypersonallife2015.wordpress.com/category/kisah-kisah-teladan/ apa-itu-industri-pepancongan.
Jahi, J. M. (2009). Pembangunan Pelancongan dan Impaknya Terhadap Persekitaran Fizikal Pinggir Pantai. MalaysianJournal of Environtment Management 10(2) , 71-88.
Johor catat 6.9 juta kedatangan pelancong. (2016, April 18). Didapatkan dari http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/johor-catat-6-9-juta-kedatangan-pelancong-1.273804.
Jumlah pelancong merosot. (2015, Ogos 7). Didapatkan dari http://www.sinarharian.com.my/bisnes/jumlah-pelancong-merosot-1.416976.
Kepentingan dan Sumbangan Industri Pelancongan Tehadap Pembangunan Ekonomi Negara Malaysia. (2016, March 16). Didapatkan dari https://pelancoganblog.wordpress.com/2016/03/16/kepentingan-dan-sumbangan-industri-pelancongan-terhadap-pembangunan-ekonomi-negara-malaysia.
Malaysia destinasi pelancongan utama Singapura. (2012, Januari 30). Didapatkan dari http://www.sinarharian.com.my/bisnes/malaysia-destinasi-pelancongan-utama-singapura-1.20873.
pelancongan - Dewan Bahasa dan Pustaka. (t.t). Didapatkan dari http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=pelancongan.

Saeril, N. (2015, Jun 18). Jumlah pelancong ke Malaysia berkurangan. Didapatkan dari http://www.hmetro.com.my/node/58578.
Sektor pelancongan beri sumbangan ketara kepada ekonomi negara-Najib. (2015, Oktober 17). Didapatkan dari http://www.bharian.com.my/node/89720.
Sektor Pelancongan Negara Terjejas Ekoran Insiden Lahad Datu. (2013, March 31). Didapatkan dari http://peraktoday.com.my/2013/03/sektor-pelancongan-negara-terjejas-ekoran-insiden-lahad-datu.
Zainol, F. (2015, September 14). Jerebu boleh jejas ekonomi. Didapatkan dari http://www.utusan.com.my/bisnes/ekonomi/jerebu-boleh-jejas-ekonomi-1.135670.
Zarinaj. (2016, April 07). Industri pelancongan. Didapatkan dari https"//industri pelancongan.wordpress.com/2016/04/07.

No comments:

Post a Comment